Sehubungan itu, jika memilih cat dinding, pastikan ia mampu bertahan sekurang-kurangnya melebihi 10 tahun. Jika mahukan hiasan dalaman unik, belajar memberi kelonggaran terhadap pilihan perabot. Misalnya, cuba kaedah suai-padan kerusi dengan meletakkan sofa tiga tempat duduk, kerusi bersayap dan bangku jati setempat.
Usah abaikan pencahayaan dalam almari kerana ia berupaya meminjamkan imej ekslusif. Berikut dikongsi 20 panduan serta helah terbaik yang mungkin dapat membantu anda mewujudkan kediaman impian.
1. BANTAL DAN KUSYEN HIASAN MENERBITKAN WARNA
Sepasang bantal atau kusyen hiasan belum memadai menyerikan sofa. Sebaliknya, disyorkan tambah sepasang lagi namun biarlah yang menampilkan tekstur, warna serta corak bertentangan latar sofa.
2. BELI KATIL BESAR
Perabot kecil hanya membuatkan bilik kecil bertambah nampak sempit. Bagi mengatasinya, beli katil tinggi dengan kepala katil besar supaya bilik nampak lebih luas.
3. BUKA PINTU KABINET
Pintu kabinet lebih menarik dibuka berbanding ditutup. Ia seolah-olah mempelawa tetamu masuk ke dunia rahsia anda menerusi pelbagai koleksi kesayangan yang disimpan di dalamnya.
4. PILIH HITAM
Bukan semua dinding berwarna gelap menyebabkan ruang nampak sesak dan terhimpit, sebaliknya ada juga yang membantu ruang dilihat lapang dan berudara.
5. KERTAS DINDING
Ia cara terpantas mengubah pintu kaca sorong almari, mendahului cat serta kemasan kaca.
6. PERANCANGAN KOLEK? SI UKURAN BESAR
Dinding yang dibahagikan kepada sempadan tertentu membantu koleksi kesayangan ditempatkan secara teratur lagi sistematik.
7. AMBAL/PERMAIDANI DI BILIK AIR
Jadikan ambal/permaidani sebagai pengganti alas mengelap kaki. Selain berfungsi mengeringkan tapak kaki basah, ia turut membentuk sebahagian hiasan ruang.
8. TIDAK MEMILIH SOFA UNTUK RUANG TAMU
Tidak ada peraturan mengatakan sofa wajib mengisi ruang tamu. Maka, bukanlah satu dosa sekiranya anda tidak memilihnya sebagai perabot utama ruang berkenaan.
9. PUTIH SEPANJANG ZAMAN
Bilik dihiasi serba putih tak pernah lapuk dek zaman sebaliknya warna itu sesuai mewakili sebarang gaya, dari klasik hingga kontemporari.
10. SUAI PADAN
Katil bertiang empat mampu mewujudkan kelainan di bilik tidur mempraktikkan hiasan moden.
11. PILIHAN LAMPU BERTINGKAT
Lampu empat lapis menawarkan ragam pencahayaan menarik berbanding dua lapis. Ia sesuai dalam mendapatkan ruang terang-benderang selain menyediakan pencahayaan secukupnya bagi tujuan membaca serta menyiapkan tugasan pejabat.
12. ALAS MEJA PANJANG KEMAS DAN RAPI
Selain menjadi hiasan meja, alas meja panjang boleh dijadikan penyeri sofa. Namun, syaratnya, lipat alas meja berkenaan kepada dua bahagian, sebelum disemat rapi di bahagian penyandar serta kusyen duduk sofa.
13. JAUHI KELAZIMAN MEMILIH MEJA KOPI BIASA.
Meja kopi paling versatil adalah bangku ottoman yang diubah fungsi menjadi meja. Selain menempatkannya di tengah set sofa, pilih dulang paling ekslusif serta mewah untuk dijadikan permukaan meja berkenaan.
14. UPHOLSTERI MEMBENTUK KARAKTER RUANG
Terlalu banyak kaki kerusi dan meja membuatkan ruang nampak berserabut. Bagi mengurangkan kesan itu, pasang upholsteri pada satu atau dua kerusi di situ.
15. KEEMASAN YANG MENAWAN
Warna keemasan kembali popular. Sisipan warna itu menghangatkan ruang.
16. TUMBUHAN MEMBAWA KECERIAAN CERUK DAN SUDUT
Tiada apa mampu `melembut'kan sudut serta ceruk tersembunyi kediaman luas melainkan sebuah pokok dalam pasu.
17. KULIT TAHAN LAMA
Kemasan kulit dan vinil dianggap paling tahan lasak dan berupaya bertahan lama. Ia disyorkan sebagai material kerusi makan lebihlebih lagi yang memilih putih sebagai tema ruang berkenaan.
18. SUAI PADAN KERUSI MEJA MAKAN
Kepelbagaian menghasilkan sesuatu yang indah untuk ditatap dan boleh dicuba dengan mencampurkan pelbagai rekaan serta jenis kerusi meja makan. Selain berbeza, ia mendatangkan keseronokan ketika memilih kerusi yang ingin diduduki.
19. PENCAHAYAAN ALMARI PAKAIAN
Jika sayangkan almari pakaian anda, labur wang untuk mengecat, memasang kertas dinding atau menampal gambar kegemaran yang boleh membangkitkan motivasi di pintunya. Namun, jangan lupa lengkapinya dengan pencahayaan disyorkan khas untuk almari itu.
20. PERBAHARUI BARANGAN VINTAJ
Jangan gusar mengecat semula peninggalan barang vintaj anda. Ketika melakukannya, ubah kebiasaan dengan memilih warna ganjil seperti hijau lumut, biru langit, merah peti pos dan sebagainya.
Sekalipun dikategorikan barangan lama, tidak semestinya ia harus dicat dengan warna coklat dan kusam saja.